Friday, April 1, 2011

> Syarat baru ke Universiti Al-Azhar

Kuliah Syariah dan Perundangan Damanhour


KUALA LUMPUR 1 April – Kementerian Pengajian Tinggi dan Universiti Al-Azhar, Mesir bersetuju menetapkan syarat kemasukan ke universiti itu pada tahun ini berdasarkan pada tahap penilaian sistem peperiksaan kelayakan bahasa Arab yang akan diwujudkan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, calon-calon yang mengikuti peperiksaan itu akan dinilai berdasarkan tiga tahap iaitu cemerlang, sederhana dan lemah.

“Calon-calon yang cemerlang akan terus ditawarkan tempat ke Al-Azhar, manakala calon yang menunjukkan pencapaian sederhana akan diminta mengikuti kelas Bahasa Arab selama tiga bulan di Pusat Bahasa Arab di universiti itu di Kaherah.

“Bagi calon-calon yang didapati lemah, mereka diminta mengikuti kelas Bahasa Arab di kolej (maahad) Bahasa Arab Universiti Al-Azhar yang akan ditubuhkan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, keputusan itu dicapai dalam pertemuannya dengan Menteri Pengajian Tinggi dan Penyelidikan Saintifik Mesir, Dr. Amr Ezzat Salama dan Syeikh Al-Azhar, Dr. Ahmad Mohamed El-Tayeb ketika beliau mengadakan lawatan ke negara itu pada 16 hingga 20 Mac lalu.

Kementerian juga, katanya, akan menilai semula beberapa universiti di negara itu termasuk Universiti Mansurah, Universiti Tanta dan Universiti Zagazig bagi memastikan universiti berkenaan mempunyai persekitaran pembelajaran dan pengajaran yang kondusif serta mempunyai kualiti pengajian tinggi yang sewajarnya.

Menurut rekod kementerian, terdapat 11,319 penuntut Malaysia dalam pelbagai bidang di beberapa universiti di negara itu dengan 6,135 orang penuntut bidang pengajian Islam dan 5,184 penuntut perubatan, pergigian dan farmasi.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, Universiti Al-Azhar juga akan mengenalpasti jumlah dan punca ramai pelajar Malaysia yang menuntut di universiti itu gagal menamatkan pengajian mereka.

Sehubungan itu, katanya, pihak universiti telah bersetuju untuk mengadakan program khas bagi pelajar terlibat selepas mengenalpasti punca kegagalan tersebut..

‘‘Sekiranya punca kegagalan mereka disebabkan oleh kelemahan pelajar menguasai bahasa Arab, maka pelajar terlibat akan dimasukkan ke dalam Pusat Bahasa Arab dan jika disebabkan kesukaran memahami pengajian, pihak universiti akan mewujudkan kelas berbayar untuk mereka,’’ katanya.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

"islamic Template" designed by hafidz