Mesir anjur Islamic Idol
KAHERAH 17 Mei - Api tersembur keluar dari pentas utama dan kabus mengelilingi seorang lelaki muda berjubah sebelum dia menghampiri mikrofon dan merenung serius ke arah kamera dan memulakan nyanyian yang diiringi alunan irama gendang.
"Saya mengakui Allah sebagai Tuhan, agamaNya sebagai anutanku, dan PesuruhNya sebagai ikutanku," demikian lirik nyanyian yang didendangkan di depan penonton yang dipisahkan antara lelaki dan wanita.
Pemuda ini adalah seorang peserta dalam rancangan realiti format American Idol versi Islam yang dilancarkan bagi mencari dan mempromosi bakat untuk saluran video berunsur Islam yang pertama dalam dunia Arab.
Stesen televisyen satelit, 4shbab yang membawa maksud 'Untuk Pemuda-pemudi' adalah hasil buah fikiran petugas media Mesir, Ahmed Abu Heiba yang menegaskan misinya adalah untuk menyebarkan mesej bahawa orang Islam juga boleh menjadi moden dan berhubung dengan dunia hari ini.
"Sebelum ini, kita gagal menyebarkan mesej ini. Apa yang saya cuba lakukan adalah menggunakan bahasa universal muzik untuk menunjukkan rupa sebenar Islam," kata Abu Heiba semasa ditemuramah baru-baru ini.
Saluran baru yang dilancarkan pada Februari dan dapat ditonton di negara-negara Arab adalah satu usaha untuk menarik perhatian anak muda yang lebih mementingkan agama dan pada masa sama, berdepan pengaruh pop Barat. - AP
0 comments:
Post a Comment