Sunday, May 24, 2009

> Kunyit bantu turunkan lemak



Komponen 'curcumin' juga bantu kurangkan berat badan

WASHINGTON: Khasiat dan kebaikan kunyit terus terbongkar apabila satu kajian yang dibuat ke atas tikus mendapati bahan itu boleh membantu mengurangkan berat badan dan menekan perkembangan tisu lemak.

Penyelidik di Pusat Penyelidikan Zat mengenai Penuaan, Jean Mayer, di Universiti Tufts mendakwa, curcumin, polyphenol utama yang ditemui dalam kunyit, mengurangkan kenaikan berat pada tikus.

Pasukan penyelidik mengkaji tikus yang diberi makan makanan lemak tinggi yang ditambah dengan curcumin.


“Pertambahan berat ialah hasil pertumbuhan dan perkembangan tisu lemak, yang tidak boleh berlaku kecuali saluran darah baru terbentuk, proses dikenali sebagai angiogenesis.

“Berdasarkan data kami, curcumin menekan aktiviti angiogenic dalam tisu lemak tikus yang diberi makan makanan tinggi lemak,” kata penulis kanan yang juga pengarah Makmal Biologi Vaskular, di pusat itu, Mohsen Meydani.

Beliau, bagaimanapun menambah mereka tidak tahu sama ada keputusan itu boleh digunakan pada manusia kerana tiada kajian pernah dibuat mengenai perkara itu.

Salah satu komponen kunyit ialah curcumin, jenis phytochemical dikenali sebagai polyphenol. Penyelidikan mendapati phytochemicals, iaitu kimia yang ditemui pada tumbuh-tumbuhan, dapat membantu mencegah penyakit. Sebagai komponen bioaktif kunyit, curcumin sedia diserap untuk kegunaan tubuh.

Meydani dan pasukannya mengkaji tikus yang diberi makanan tinggi lemak selama 12 minggu. Kumpulan diberi makanan tinggi lemak pertama diberi tambahan dengan 500 miligram curcumin manakala kumpulan kedua tidak diberi makan bahan itu.

Kedua-dua kumpulan haiwan uji kaji itu memakan pada jumlah sama, menunjukkan curcumin tidak menjejaskan cita rasa tetapi tikus yang diberi makanan tambahan curcumin tidak mencatatkan kenaikan berat badan seperti tikus yang tidak diberi bahan itu.

“Curcumin nampaknya faktor utama menyebabkan pengurangan lemak tubuh pada kumpulan yang mendapat makanan tambahan. Pada tikus itu, kami meneliti penekanan kepadatan microvessel pada tisu lemak, petanda kurang pertumbuhan saluran darah dan oleh itu mengurangkan lemak.

“Kami juga mengesan paras rendah kolesterol darah dan lemak dalam hati tikus itu,” katanya. - Agensi

> dipetik daripada berita harian

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

"islamic Template" designed by hafidz