Friday, May 22, 2009

> Blogger tertua meninggal dunia


MADRID 22 Mei - Seorang warga emas negara ini yang mengumumkan dirinya sebagai blogger tertua di dunia dan mendapat perhatian global melalui Internet, meninggal dunia semalam pada umur 97 tahun, lapor pegawai dan laporan media.

Maria Amelia Lopez, yang diperkenalkan kepada dunia blog oleh seorang cucunya, menggabungkan unsur humor dan nostalgia ketika mengenangkan kehidupan semasa pemerintahan diktator Francisco Franco, menjadikannya popular.

''Hari ini adalah hari jadi saya dan cucu saya yang sangat kedekut memberikan saya satu blog,'' tulis Lopez pada cerita pertama di dalam blognya iaitu amis95.blogspot.com pada 23 Disember 2006.

Blog warga emas itu dengan pantas mengecap populariti setelah media melaporkan ia dikunjungi lebih 1.5 juta pengunjung. Blog itu juga membolehkan Lopez bertemu Perdana Menteri, Jose Luis Rodriguez Zapatero, yang disokongnya secara terbuka.

Pada musim panas, nenek itu biasanya menulis blog daripada rumahnya di tepi laut dekat Muxia, barat laut Sepanyol, itu tempat kelahirannya pada 1911 dan dari rumah ladang di Galician di mana dia tinggal sepanjang tahun bersama cucunya, Daniel.

Blog Lopez menyentuh mengenai masalah kesihatan peribadinya, daripada pertemuannya dengan doktor disebabkan pening sehinggalah pandangannya terhadap peristiwa-peristiwa terkini; daripada keganasan puak pemisah Basque hinggalah kepada dakwaan angkuh nuklear Iran.

Dia akan menulis blog tanpa mengikut masa, kadang-kadang seminggu sekali atau setiap hari dengan bantuan cucunya disebabkan masalah katarak yang membataskan penglihatannya. - AFP

> dipetik dari utusan Malaysia

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

"islamic Template" designed by hafidz