Tuesday, May 17, 2011

> Tunjuk perasaan desak Duta Israel diusir


Polis antirusuhan melepaskan tembakan gas pemedih mata ke arah penduduk Mesir yang mengadakan tunjuk perasaan di hadapan bangunan Kedutaan Israel di Kaherah bagi mendesak Duta Israel ke Mesir diusir, semalam


KAHERAH 16 Mei - Sekurang-kurangnya 24 orang cedera apabila penunjuk perasaan yang menuntut pengusiran duta Israel bertempur dengan polis antirusuhan di luar Kedutaan Israel di sini semalam.

Protes itu termasuk dalam siri demonstrasi yang dilancarkan di serata rantau ini semalam sempena ulang tahun Hari Nakba ke-63 yang membawa kepada penubuhan negara Israel pada 1948.

"Duta Berambus!" Laung penunjuk perasaan yang mengutuk pendudukan Israel di wilayah Palestin dan menuntut pembebasan semua tahanan Palestin.

Polis dengan bantuan tentera melepaskan berpuluh-puluh tembakan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang membalas dengan membaling batu dan membakar tayar.

Pertempuran berterusan malam tadi, dengan sebilangan penunjuk perasaan memberitahu polis bahawa mereka tidak akan beredar sehinggalah duta Israel diusir dari negara ini.

Pasukan keselamatan melepaskan tembakan gas pemedih mata yang memenuhi ruang udara, memaksa penunjuk perasaan melarikan diri ke jalan-jalan berdekatan sebelum berhimpun semula dan membaling batu ke arah polis antirusuhan yang mengepung bangunan kedutaan.

Protes semalam, masuk hari ketiga berturut-turut, berlaku hanya beberapa jam selepas pegawai kanan Kementerian Pertahanan Israel, Amos Gilad tiba di Kaherah untuk rundingan dengan pegawai Mesir.

Gilad ialah pegawai tinggi Israel pertama melawat Mesir sejak Hosni Mubarak disingkirkan sebagai Presiden dalam kebangkitan rakyat pada Februari lalu

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

"islamic Template" designed by hafidz