BACHOK – Seorang lelaki terkejut apabila menemui bayi yang masih bertali pusat dibuang di dalam semak dalam kejadian di Kampung Pertama Machang di sini semalam.
Bayi lelaki itu ditemui pada pukul 11.30 pagi ketika Mohd. Satar Mohd. Ali, 49, dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas membaiki motosikal di pekan Jelawat dekat sini yang terletak kira-kira 10 kilometer dari lokasi bayi itu dijumpai.
Menurut Mohd. Satar, dia merasa pelik apabila terdengar bunyi tangisan bayi ketika melalui kawasan semak tersebut dan apabila ditinjau, dia terkejut melihat seorang bayi lelaki berada di dalam sebuah beg kertas di semak berkenaan.
“Sebaik membuka beg itu, saya nampak seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat di dalamnya. Saya terus berlari untuk memberitahu penduduk kampung sebelum bayi malang itu dipindahkan ke tempat redup.
“Ketika ditemui, bayi yang cukup sifat dan sihat itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” ceritanya ketika ditemui semalam.
0 comments:
Post a Comment