Monday, February 23, 2009

Remaja Perancis Terbunuh di Kaherah

Remaja Perancis terbunuh


PEKARANGAN bazar di luar Masjid Hussein di Kaherah yang selalunya sibuk, menjadi lengang ekoran kejadian letupan bom, yang mengakibatkan seorang remaja Perancis terbunuh, semalam. - AFP


KAHERAH 23 Feb. - Seorang remaja perempuan dari Perancis terkorban dan 25 lagi, kebanyakan mereka warga asing cedera dalam satu letupan bom buatan sendiri di sebuah bazar berusia 650 tahun yang penuh sesak dengan pelancong, awal malam tadi.

Polis menemui bom kedua dalam tempoh sejam kemudian dan berjaya mematikannya.

Pegawai keselamatan berkata, tiga orang telah ditahan berhubung serangan maut pertama ke atas warga Barat di Mesir sejak 2006.

Seorang pakar mengenai fahaman militan berkata, serangan itu mungkin sebagai tindak balas terhadap kempen keganasan Israel ke atas Genting Gaza pada bulan lepas.

"Kami melayan pelanggan seperti biasa dan tiba-tiba berlaku satu letupan kuat.

"Pengunjung lari bertempiaran dan sesetengahnya cedera disebabkan rempuhan dan bukan kerana letupan itu," kata seorang pelayan di sebuah kafe berdekatan, Magdy Ragab.

Pelancongan adalah antara sumber pendapatan asing utama bagi Mesir dan industri itu pernah menjadi sasaran pada masa lepas dalam usaha untuk merosakkan kedudukan kerajaan yang kini cuba merundingkan gencatan senjata berpanjangan di Gaza.

Letupan malam tadi menggegarkan plaza utama di Khan el-Khalili, sebuah bazar yang popular di kalangan pelancong dan terletak bersebelahan Masjid Hussein.

Percikan darah kelihatan pada batu-batu di hadapan masjid tersebut ketika jemaah baru selesai mengerjakan solat Maghrib.

Laporan awal mengatakan dua butir bom tangan dilontar ke tempat kejadian tetapi kerajaan mengesahkan, serangan itu melibatkan sebutir bom buatan sendiri yang diletakkan di bawah bangku di plaza utama. - AP

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

"islamic Template" designed by hafidz