Monday, February 23, 2009

Kaherah Sasaran Bom

Bazar 1,500 tahun jadi sasaran bom


ANGGOTA polis Mesir berkawal di luar kawasan yang menjadi lokasi letupan bom di bazar Khan el-Khalili, Kaherah kelmarin.


KAHERAH - Polis Mesir semalam menyatakan seramai tiga suspek ditahan berhubung kejadian letupan bom di sebuah bazar terkenal di Kaherah yang menyebabkan seorang remaja Perancis mati manakala 25 yang lain cedera.

Serangan kelmarin merupakan keganasan paling buruk terhadap warga Barat di Mesir sejak 2006 namun sehingga kini tidak ada pihak tampil mengaku bertanggungjawab.

Bom berkenaan meletup di laluan kafe dan restoran di Khan al-Khalili yang wujud sejak 1,500 tahun lalu.

"Selain tiga suspek itu, beberapa orang turut ditahan untuk disoal siasat," kata seorang pegawai polis.

Remaja Perancis berumur 17 tahun itu mati di hospital. Mangsa menyertai kumpulan 54 remaja dari Paris untuk membeli-belah cenderamata di kawasan tersebut untuk dibawa pulang.

Letupan itu turut mencederakan 17 rakannya termasuk seorang berada dalam keadaan parah.

"Letupan itu sangat kuat. Orang ramai menjerit dan kami lari bertempiaran," kata seorang ahli rombongan, Romy Janiw, 28.

Menteri Kesihatan Mesir, Nasir Rasmi berkata, mangsa yang cedera termasuk seorang warga Jerman, Arab Saudi (tiga) dan Mesir (empat).

"Kebanyakan kecederaan berpunca daripada objek tajam," kata Nasir.

Saksi dan polis memberitahu, dua butir bom dilempar dari atas bumbung yang bertentangan dengan bazar tersebut.

Bom kedua tidak meletup dan ia dimusnahkan oleh pihak berkuasa, kata sumber polis. - AFP

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

"islamic Template" designed by hafidz