Wanita terkejut dengar suara bayi merengek dalam plastik
SEREMBAN 1 April – Seorang wanita yang ingin membuang sampah menjerit ketakutan apabila mendapati sebungkus plastik hitam yang diletakkan di luar rumahnya di Taman Senangin, Senawang dekat sini mengandungi seorang bayi perempuan.
Bayi malang berusia sebulan itu ditemui merengek dalam plastik tersebut yang diikat, kira-kira pukul 8 malam tadi.
Wanita berusia 30-an itu mulanya ternampak plastik tersebut bergerak-gerak. Dia kemudian membuka ikatannya dan menjerit setelah melihat bayi yang masih sihat itu dibuang dalam plastik berkenaan.
Ini merupakan kes ketiga bayi dibuang di sekitar Senawang dalam tempoh tidak sampai sebulan.
Bermula dengan kes penemuan janin bayi yang digilis kenderaan di Taman Marida pada 14 Mac lalu, mayat seorang bayi perempuan yang berusia empat bulan ditemui ditanam di Tanah Perkuburan Islam Senawang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, bayi berkenaan ditemui di tempat pembuangan sampah di rumah wanita itu yang kemudiannya menghubungi polis.
“Polis akan menjalankan siasatan berhubung penemuan bayi perempuan ini. Kita akan mencari individu yang tidak bertanggungjawab itu,” tegasnya ketika dihubungi di sini hari ini.
Saiful Azly tidak menolak kemungkinan bayi berkenaan dibuang di situ beberapa jam sebelum ia ditemui. Hasil siasatan awal polis mendapati, bayi perempuan itu berkemungkinan berbangsa Melayu.
“Bayi tersebut dibawa ke Hospital Tuanku Ja‘afar untuk menjalani pemeriksaan dan diberi rawatan.
“Bayi malang itu akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan yang ditinggalkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab itu,” jelas beliau.
Menurut Saiful Azly, kes ini disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu membuang kanak-kanak yang umurnya kurang daripada 12 tahun oleh ibu bapa atau penjaganya.
Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut supaya menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu memburu mereka yang melakukan jenayah itu.
Pada 14 Mac lalu, satu janin berusia hampir empat bulan dan digilis kenderaan pacuan empat roda ditemui seorang pemuda di Taman Marida. Janin itu dibuang dalam sebuah beg plastik sampah berwarna biru.
Kelmarin, mayat bayi perempuan yang berusia 14 minggu ditemui ditanam di Tanah Perkuburan Islam Senawang oleh seorang penjaga kubur. Turut ditemui, satu kotak dipercayai diguna untuk menyembunyikan mayat bayi malang berkenaan.
0 comments:
Post a Comment