|
|
TANAH MERAH 12 Ogos – Ketika Kabinet hari ini mengarahkan individu terlibat dalam kes pembuangan bayi disiasat mengikut Kanun Keseksaan iaitu membunuh atau cubaan membunuh, satu lagi mayat bayi ditemui dibuang di sini hari ini.
Tanpa perikemanusiaan serta menghormati kedatangan Ramadan, bayi perempuan yang masih bertali pusat itu ditemui di dalam lubang kumbahan najis di belakang asrama sebuah kolej di Bandar Bukit Bunga.
Mayat bayi malang yang dipercayai dibuang sejak seminggu lalu itu ditemui kira-kira pukul 5 petang oleh seorang murid, Mohd. Arif Ibrahim, 8, ketika sedang bermain berhampiran kawasan tersebut.
Mohd. Arif ketika ditemui hari ini berkata, bau busuk dari lubang najis itu menyebabkan dia dan tiga lagi rakannya berasa curiga lalu segera menyiasat puncanya.
“Semasa bermain kami terhidu bau busuk lalu saya pergi tengok dan nampak macam mayat bayi sebelum panggil rakan lain.
“Saya pun panggil rakan lain dan bila tengok betul-betul memang sah ia mayat bayi yang sedang tertiarap,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Sepasukan anggota polis termasuk Unit Forensik tiba di tempat itu kira-kira pukul 7 petang dan mengambil masa selama 45 minit untuk mengeluarkan mayat bayi itu sebelum dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat.
Pemangku Timbalan Ketua Polis Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim ketika dihubungi hari mengesahkan penemuan bayi itu.
-dipetik dari utusan 13hb Ogos 2010
0 comments:
Post a Comment