Saturday, October 10, 2009

> Syeikhul Al_Azhar Mesir Haramkan Purdah



KAHERAH 9 Okt. - Syeikhul Al_Azhar Mesir, Mohammed Sayyed Tantawi (gambar) berkata, para pelajar dan guru-guru tidak lagi dibenarkan memakai purdah di dalam kelas dan asrama institusi pengajian Islam terulung, al-Azhar sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menangani amalan radikal dalam Islam.

Tantawi yang juga merupakan ketua al-Azhar mengumumkan perkara itu, beberapa hari selepas beliau membuat kenyataan: purdah atau niqab 'tiada kena mengena dengan Islam'.

Tindakan beliau itu telah mencetuskan bantahan kuat daripada golongan yang menganggapnya sebagai satu serangan terhadap Islam serta beberapa pertubuhan hak asasi yang menganggap pengharaman niqab mencabuli kebebasan berperlembagaan.

Isu sebanyak mana tubuh wanita Islam perlu ditutup telah menjadi isu yang kerap dipertikai antara tokoh Islam.

Kebanyakan mereka menyatakan purdah tidak diperlukan kerana ia sekadar satu adat kaum nomad di gurun-gurun Arab sebelum kedatangan Islam.

Kebanyakan wanita Islam di Mesir memakai tudung atau hijab yang melindungi rambut, tetapi niqab semakin popular di Kaherah kebelakangan ini sehingga menimbulkan kebimbangan kerajaan.

Sementara itu, di Toronto, pertubuhan penduduk Islam Kanada menggesa kerajaan mengharamkan pakaian tradisional yang menutup muka, dengan menyatakan ia adalah simbol penindasan terhadap wanita oleh golongan radikal yang tidak mempunyai asas dalam Islam.

Kongres Islam Kanada mendesak pengharaman tersebut kerana menurut mereka, amalan menutup wajah tidak sewajarnya wujud dalam masyarakat yang menyokong hak sama rata antara jantina.

"Masyarakat Islam seluruh dunia tahu bahawa pakaian yang menindas wanita ini dipromosikan oleh Taliban dan al-Qaeda," kata pengasas kumpulan tersebut, Tarek Fatah.

Katanya, pengharaman tersebut tidak boleh meliputi hijab, iaitu pakaian tradisional yang tidak menutup wajah.

Tambahnya, tidak ada dalam mana-mana teks Islam termasuk Al-Quran, yang menyuruh wanita menutup wajah termasuk undang-undang Syariah yang paling konservatif. - AP

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

"islamic Template" designed by hafidz